KATA-KATA ALUAN PENAUNG/PENASIHAT


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji tertentu bagi ALLAH Subhanahu Wata'ala yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi Nya (pula) segala puji di akhirat, dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan Nya.

Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian. Demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wataala sehingga ke hari kebangkitan.

Hamba-Mu ini, dengan hati yang tulus, menzahirkan setulus kalam dari pancaran hati, kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya ALLAH, dengan rasa rendah hati dan segala kerendahan sifat, kelemahan kudrat dan kewangan, hamba-Mu mohon mendapat petunjuk dan panduan dari Mu jua bagi menyempurnakan satu tanggung jawab untuk membangunkan Masjid Dan Pusat Pengajian Ilmu-Ilmu Al-Quran ini.

Semoga dengan terbinanya masjid dan pusat ilmu ini, kita semua dapat  menyempurnakan amanah dengan memastikan kesucian Islam tidak ternoda, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam dilindungi dari penyerapan fahaman lain hingga boleh dimurtadkan dan juga kita dapat mempertahankan agama Islam dan penganutnya dari dipengaruhi unsur-unsur agama lain. Kita juga berharap semoga dapat memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu dilakukan oleh kita semua.

Semoga masjid dan pusat ilmu ini menjadi pusat penyebaran Islam yang terulung di Malaysia suatu masa nanti. Kita juga berharap ianya bebas dan bersih dari sebarang pengaruh, campur tangan dan penglibatan politik kepartian sempit serta memastikan jawatan kuasa masjid yang dilantik tidak disertai oleh individu yang aktif dalam parti politik melainkan yang diperkenankan oleh Raja Pemerintah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad ke-V atau YTM Tengku Mahkota Kelantan, selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan atau dilantik atas jawatan bagi mewakili Pihak Berkuasa Negeri.

Saya juga menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam perancangan dan pembinaan masjid dan pusat ilmu ini dapat membantu memudahkan cara dalam apa jua usaha kelulusan, pembinaan dan sebagainya. Semoga dengan jasa baik yang telah kita usahakan akan mendapat ganjaran pahala yang paling besar dari Allah Subhanahu Wataala nanti.

Akhir kalam, Kami bermohon kepada-Mu YA ALLAH semoga mendapat rahmat bimbingan dan keberkatan dari Mu jua. Amin, Ya Rabul Alamin.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 
.................................................................................................................................

YM. TOK MUDA TENGKU DATO’ABDUL MANAN BIN TENGKU TEMENGGONG HAJI ABDUL AZIZ, DIMP., SAP.,
Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang.
Selaku Penaung / Penasihat














KATA-KATA ALUAN PENGERUSI

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata'ala, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam dan keluarga serta para sahabat baginda, seterusnya ke atas sekalian tabiin dan ulama sepanjang zaman.

Kami merafakkan setinggi kesyukuran dan penuh kepujian kepada Allah Subhanahu Wataala, dengan nikmat, rahmat dan izin-Nya, kerana telah mengizinkan kami untuk merancang dan berusaha pembinaan pembangunan Masjid Dan Pusat Pengajian Ilmu-Ilmu Al-Quran ini.

Sejarah telah mencatatkan bahawa sebaik sampai di Madinah, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam telah membangunkan sebuah masjid. Baginda memakmurkan masjid dengan pengajaran dan pembelajaran ilmu-ilmu Islam. Masjid Al-Nabawi yang terletak di Madinah Al-Munawwarah merupakan masjid yang pertama menjadi institusi Pendidikan Islam. Di dalam zaman kecemerlangan Islam, masjid terus menjadi pusat pengajian ilmu-ilmu Islam dan pendidikan Islam. Oleh sebab itu, institusi masjid merupakan institusi penting dalam perkembangan agama Islam di dunia ini untuk melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu, berjiwa murni dan berakhlak mulia serta untuk kehidupan di akhirat yang kekal selamanya.

Menyedari hakikat kepentingan insititusi masjid sebagai tempat melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu, berjiwa murni dan berakhlak mulia maka kami mencadangkan pembinaan Masjid Masjid Dan Pusat Pengajian Ilmu-Ilmu Al-Quran ini.

Kepesatan pembangunan serta penambahan penduduk di kawasan ini  telah menyebabkan penambahan yang ketara bilangan jemaah terutamanya pada hari Jumaat. Masjid-masjid yang sedia ada di kampung berhampiran juga tidak mampu lagi untuk menampung penambahan bilangan penduduk dan jemaah terutamanya dimusim perayaan.

Disamping itu, kita berharap masjid ini juga dapat membantu dan memperlengkap usaha-usaha kita kearah membangunkan taraf ekonomi, taraf pendidikan dan taraf sosioekonomi dengan mempelbagaikan aktiviti sebagai pusat pembangunan ekonomi, perkembangan ilmu, pembangunan sosiobudaya, seni untuk kecemerlangan ummah.

Diharap dengan terbinanya masjid dan pusat ilmu di Kampung Chawas, Tanah Merah, Kelantan ini, ianya dapat mempertingkatkan dan memperkasakan lagi kecemerlangan ilmu-ilmu Islam yang terkandung dalam Al-Quran dan hadis dan seterusnya meningkatkan lagi amalan beragama dikalangan masyarakat Islam di bumi bertuah Negeri Kelantan dan Malaysia amnya.

Semoga niat suci dan usaha kita semua diberkati, dirahmati dan dimakbulkan pelaksanaannya oleh Allah Subhanahu Wataala dan dipermudahkan segalan urusan perancangan, pelaksanaan, kelulusan, kewangan dan sebagainya untuk kemajuan, kejayaan dan kebahagian di dunia dan di akhirat.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, dengan segala rendah diri kami memohon dariMu agar Engkau kurniakan kepada kami dan hamba-hambaMu dengan taufik dan hidayah, sentiasa di bawah pimpinan dan petunjukMu, mudah-mudahan segala usaha dan amal yang kami rancangkan ini mendapat kejayaan serta mendapat keredaan dan restuMu dunia dan akhirat.

...........................................................................................
MUHAMMAD KUSHAIRI BIN HAJI ABDUL GHANI
Pengerusi
HP: 013-388 2787